Ringkasan pasaran hartanah 2021

Share this post

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email

Walaupun negara kita masih bergelut dalam memerangi wabak Covid-19, sektor hartanah yang turut terjejas teruk akibat pandemik dijangka pulih secara berperingkat pada separuh pertama tahun ini. Jangkaan pemulihan pasaran hartanah itu dibuat berdasarkan ekonomi negara yang semakin pulih dan peningkatan sentimen pasaran.

Mengikut sumber data yang diperoleh daripada PropertyGuru DataSense, separuh tahun pertama (H1) 2021 mencatatkan transaksi bagi sektor kediaman sebanyak 32,442 unit manakala H1 2019 (sebelum pandemik) dan H1 2020 (semasa pandemik), masing-masing merekodkan transaksi sebanyak 53,175 dan 35,602 unit.

Meskipun transaksi H1 2021 didapati sedikit menurun daripada separuh pertama 2019 dan 2020, harga median keseluruhan pada H1 2021 meningkat sehingga RM348,000 berbanding RM300,000 pada H1 2019 dan RM298,000 pada H1 2020.

Punca penurunan pada H1 2020 adalah berikutan pandemik Covid-19 yang merebak di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Ramai yang hilang punca pendapatan apabila diberhentikan kerja, pemotongan gaji, diberi cuti tanpa gaji dan sebagainya. Oleh itu rakyat dilihat lebih berjimat ketika berbelanja dan sangat berhati-hati dalam menjalankan aktiviti pelaburan termasuk pelaburan hartanah.

Situasi pada H1 2021 pula menunjukkan, walaupun jumlah transaksi masih rendah, namun harga median meningkat sebanyak RM50,000 atau 16.77% berbanding separuh pertama tahun sebelumnya. Ini bermakna, mereka yang mampu membeli kediaman pada H1 2021 sanggup berbelanja lebih untuk rumah yang bernilai tinggi sekali gus menaikkan harga median.

Perubahan itu mungkin disebabkan pembeli yang menaik taraf kediaman daripada rumah bertingkat (high-rise) ke rumah bertanah (landed) kerana berasa lebih selesa dan selamat dalam mencegah dan mengawal penularan Covid-19.

Pelbagai lagi persoalan dan ramalan yang akan dirungkai bagi aktiviti hartanah 2021 dan 2022, jadi teruskan membaca untuk mengetahuinya lebih lanjut.

Kawasan mana paling banyak transaksi pada 2021?

Mengikut data transaksi kediaman PropertyGuru DataSense bagi seluruh negara pada H1 2021, lima (5) kawasan popular yang direkodkan mengikut jumlah transaksi adalah seperti berikut:

Secara ringkasnya, berikut adalah antara sebab-sebab yang membuatkan kawasan-kawasan di atas popular dalam kalangan pembeli rumah dan pelabur hartanah.

  • Ipoh – Ibu negeri Perak ini bukan sahaja mempunyai harga median yang rendah, tetapi dianggap sebagai “hotspot” dengan banyak kemudahan dan kawasan rekreasi. Ipoh juga adalah antara kawasan paling membangun dan terbaru Perak telah mengemukakan cadangan pembangunan LRT di bandar raya itu.
  • Klang – Kawasan yang terkenal sebagai pelabuhan terbesar dan paling sibuk di Malaysia ini sememangnya mempunyai pembangunan pesat, banyak pusat komersial dan jaringan pengangkutan yang baik. Pekerja yang ramai daripada limpahan pembangunan kilang juga telah meningkatkan petempatan di Klang.
  • Puchong – Bandar yang amat sinonim dengan pusat komersial, tempat rekreasi, pusat membeli-belah dan pelbagai institusi pendidikan. Puchong juga dilengkapi dengan LRT Sri Petaling yang menghubungkan 8 stesen di Puchong, selain Lebuhraya Damansara-Puchong yang menghubungkan Puchong dengan bahagian lain di Lembah Klang.
  • Cheras – Kawasan pinggir bandar yang terletak antara sempadan Kuala Lumpur dan Selangor ini menjadi tempat tinggal pilihan kerana kawasan perumahan dan kemudahan yang pelbagai. Ia juga mengambil masa kurang 15 minit untuk sampai ke bandar raya dan mempunyai laluan MRT Sungai Buloh-Kajang yang menghubungkan Cheras ke beberapa stesen di dalam bandar.
  • Kajang – Berdasarkan rekod, Kajang masih mempunyai harga median yang rendah dan mampu dimiliki oleh ramai orang. Kawasannya juga sedang giat membangun di samping menyediakan banyak kawasan perumahan baharu, rumah apartmen mampu milik, akses lebuh raya dan pusat pendidikan.

Topik transaksi tinggi ini juga membawa kita ke soalan seterusnya, iaitu…

Kawasan manakah yang menyaksikan kenaikan harga median paling tinggi?

Jujurnya, terdapat banyak kawasan yang melihat kenaikan harga median sejajar dengan peningkatan bagi H1 2021. Namun begitu, lima (5) kawasan yang mencatatkan peningkatan tertinggi, melebihi 50% adalah seperti berikut:

Kenaikan harga dalam pasaran hartanah boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor, termasuk:

  • Permintaan semakin tinggi – Peningkatan ini terjadi menurut konsep asas permintaan dan penawaran dalam pasaran ekonomi. Apabila lebih ramai orang mula mencari dan membeli rumah di sesuatu kawasan, harga hartanah di situ akan mula naik.
  • Lokasi strategik – Lokasi rumah adalah antara faktor utama yang dipertimbangkan sebelum membeli rumah. Tempat yang strategik seperti kejiranan matang akan menyediakan pelbagai kemudahan sedia ada yang boleh menaikkan harga hartanah.
  • Aksesibiliti mudah – Ini bermakna, penduduk mempunyai akses ke lebuh raya utama yang akan memudahkan perjalanan mereka. Harga rumah juga boleh naik kerana ia berkait rapat dengan lokasi strategik.
  • Kawasan semakin membangun – Nilai hartanah di kawasan yang semakin pesat membangun selalunya meningkat disebabkan perancangan pembangunan dan kemudahan yang akan mempertingkatkan kualiti kehidupan masyarakat setempat.
  • Jarak dengan bandar – Rumah yang berdekatan dengan bandar sering menjadi rebutan ramai kerana menyediakan segala kemudahan yang diperlukan. Oleh kerana itu harga akan meningkat selari dengan minat pembelian.

Mereka yang memiliki rumah di kawasan dengan harga median tinggi mungkin menghadapi kesukaran untuk menjual semula kerana kekurangan pembeli. Tetapi ia menawarkan peluang yang baik buat mereka yang berfikir tentang pembiayaan semula (refinance).

Pemilik rumah berpotensi untuk mendapatkan wang tunai dengan melakukan “refinance” rumah namun pastikan dulu sama ada ia sesuai atau tidak dan apakah dokumen yang diperlukan untuk memohon.

Apakah ramalan pasaran hartanah bagi 2022?

Oleh kerana aktiviti hartanah berkait rapat dengan Belanjawan dan keadaan semasa, antara peristiwa yang boleh dijangka pada 2022 adalah:

  • Lebih banyak rumah sekunder berusia enam (6) tahun ke atas akan dijual semula kerana Cukai Keuntungan Harta Tanah (RGPT) tidak lagi dikenakan.
  • Skim Jaminan Kredit Perumahan (HCGC) bakal meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
  • Harga rumah lebih mahal kerana ia dijangka meningkat 3% – 12% dalam tempoh dua (2) tahun akan datang (2022-2023).
  • Ramai golongan muda sebagai pembeli rumah pertama kerana trend bekerja dari rumah yang semakin popular dan mereka mungkin memerlukan ruang atau rumah sendiri.

Melihat kepada ramalan 2022 yang mengatakan harga rumah akan meningkat, sekarang adalah masa yang amat sesuai untuk mereka yang ingin membeli rumah, lebih-lebih lagi pembeli rumah pertama.

Apa yang pasti, anda perlulah mempunyai kewangan yang kukuh dan sedia menerima komitmen yang besar.

Jika anda berminat untuk membeli rumah, jom semak dulu jumlah komitmen bulanan yang anda mampu untuk membeli rumah baharu dengan kalkulator kami.

Share this post

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email

Latest Article