Sukuk dan wakaf bagi majukan Kampung Baru

Oleh Prof Ismail Omar
Sejak berkurun lamanya, filantrofi telah memainkan peranan penting dalam peningkatan kebajikan seluruh manusia di muka bumi ini. Dalam konteks ini, wakaf merupakan penyelamat yang mampu menyediakan pelbagai kemudahan untuk rakyat yang memerlukan.
Wakaf dapat menjadi sebagai benteng yang kukuh menyelamatkan umat daripada hakisan sosial dan juga ekonomi. Apabila dana wakaf dikumpul dan digunakan dengan sebaik-baiknya, berbagai bentuk pembangunan ekonomi boleh dilakukan dengan menggunakan pendanaan melalui wakaf.
Dalam pembangunan hartanah, sama ada menggunakan pendekatan konvensional atau secara Islam,pendanaan tidak dapat tidak mesti ada. Peruntukan kewangan yang mencukupi diperlukan untuk membeli tanah, membayar harga bahan-bahan binaan, menyediakan prasarana, membayar ahli-ahli profesional dan sebagainya. Begitu juga dengan untung kepada pemaju, elaun luar jangka dan juga bayaran kepada faedah pinjaman kewangan daripada pihak bank yang berkenaan. Semua kos ini perlu disediakan pemaju. Justeru, sumber kewangan yang mencukupi, cekap, telus dan mampu amat diperlukan. Apalagi, dalam keadaan ekonomi negara yang terhimpit akibat tekanan wabak Covid-19.
Bagi memenuhi keperluan modal kewangan, banyak syarikat korporat di seluruh dunia telah menggunakan pelbagai instrumen untuk mengumpul modal dan seterusnya membina empayar perniagaan mereka. Selain kaedah konvensional, satu cara untuk memperoleh dana bagi memajukan perniagaan adalah secara wakaf. Melalui kaedah wakaf ini, serta distrukturkan dengan sukuk ia boleh menjadi instrumen pendanaan bagi mengumpul dana untuk mendanai projek sesuatu pembangunan hartanah.

Sumber kewangan yang mencukupi, cekap dan telus amat diperlukan untuk membangunkan Kampung Baru – Prof Ismail Omar
Sukuk berasal daripada perkataan Arab sukuk atau sakk yang bermaksud sijil iaitu instrumen yang sah di sisi undang-undang atau surat jaminan. Sukuk juga bermaksud ssijil kewangan yang distrukturkan mematuhi prinsip syariah. Sukuk telah ditakrifkan Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions atau AAOIFI sebagai sekuriti yang mewakili kepentingan pemilikan individu dalam sesebuah portfolio semasa dan melibatkan masa hadapan. Pihak Pesuruhjaya Sekuriti Malaysia (SCM) telah menerbitkan panduan khusus mengenai sukuk pada 2014. Akademi Fiqh di bawah OIC telah mengiktiraf sukuk pada Februari 1988. Sebenarnya, sukuk telah diperkenalkan pada kurun ke – 7 di Damaskus. Seterusnya sukuk digunakan dengan begitu masyhur semasa kegemilangan pemerintahan Harun Al-Rashid pada kurun ke – 9 di bawah pemerintahan Khalifah Abbasiyyah.
Terdapat berbagai-bagai bentuk sukuk seperti Murabaha, Ijara, Istisna, Musharaka, wakalah bil-Istithmar dan sebagainya) bergantung kepada pembiayaan projek yang berkaitan. Menurut Global Islamic Economy Report, pada tahun 2016 sahaja terdapat kira-kira US$2.004 trilion nilai aset yang diuruskan secara patuh syariah pada 2014, US$342 bilion melibatkan sukuk atau 2,354 sukuk yang diterbitkan.
Menurut International Islamic Financial Report pada 2012, sejak 2007, terbitan sukuk yang tertinggi adalah sebanyak US$150 bilion yang dibuat pada tahun 2012. Indonesia telah menerbitkan sukuk pada akhir 2013 sebanyak US$12.3 bilion. Saudi Aramco menerbitkan sukuk pertama di Arab Saudi pada 2011 bernilai US$3 bilion. Kemudian ditambah sehingga US$9 bilion pada tahun yang sama. Manakala Emiriyyah Arab Bersatu pula menerbitkan 18 sukuk dengan nilai US$24 bilion. Brunai pula menerbitkan US$9.6 bilion sukuk pada 2017. Di Singapura, Wakaf Bencoolen Street telah dimajukan menggunakan sukuk intifa’ yang bernilai jutaan ringgit. Wakaf ini merupakan salah satu wakaf yang menjadi ikonik di bawah kelolaan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
Pada 1990, Shell Malaysia telah menerbitkan sukuk bernilai RM125 juta menggunakan konsep bai bithamin ajil. Pada 2011, Malaysia merupakan penerbit tertinggi sebanyak 60% daripada semua sukuk di dunia. Malaysia menerbitkan sukuk pada 2012 dengan nilai kira-kira US$18 bilion.
Namun demikian, penggunaan sukuk sebagai salah satu instrumen kewangan patuh syariah mendepani beberapa cabaran termasuklah kefahaman yang kurang di seluruh dunia, dikatakan hanya sesuai untuk mendanai projek prasarana sahaja, kurangnya instrumen patuh syariah di peringkat global. Namun begitu, ternyata sukuk telah membuka peluang yang luas untuk memajukan prasarana dan pembangunan hatrtanah di seluruh dunia, terutama sekali dunia Islam yang tercari-cari kaedah pendanaan patuh syariah.
Surat jaminan sukuk disediakan supaya mematuhi kehendak syariah dengan bayaran pulangan berdasarkan untung dan bukan faedah atau bunga. Sukuk biasanya melibatkan aset ketara dalam sesuatu pelaburan. Dalam konteks ini, jaminan terhadap pelaburan menggunakan sukuk melibatkan syarikat pelaburan hartanah yakni Syarikat Tujuan Khas (SPV) atau syarikat khusus yang dilantik untuk memajukan hartanah.
Apabila pihak kerajaan memaklumkan bahawa cadangan pembangunan tanah-tanah Kampung Baru yang melibatkan sumber modal kira-kira RM7 bilion, sudah tentu sumber kewangan yang cekap dan berdaya maju diperlukan. Nilai pembangunan yang besar ini juga sebaik-baiknya diurus secara professional dan melibatkan pasaran kewangan global. Maka, dalam keadaan ekonomi negara yang lemah akibat tekanan daripa wabak covid-19, sudah tentu instrument kewangan yang canggih dan cekap diperlukan. Justeru, sukuk yang merupakan instrumen patuh syariah dapat membantu dengan cara yang sepatutnya.
Di bawah Akta Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (Akta 733 tahun 2012), pembangunan semula Kampung Baru mestilah berpaksikan agama, pewarisan tanah dan budaya Melayu, sudah pasti instrumen kewangan patuh syariah seperti sukuk perlu diberi perhatian. Lagi pula, hanya 40% pemilik dan pewaris tanah-tanah di Kampung Baru yang sanggup menjual tanah mereka, selebihnya tidak bersetuju.
Majoriti pemilik dan pewaris lebih cenderung memajukan tanah-tanah mereka secara wakaf tanpa kehilangan kepentingan hartanah secara jual beli. Lantaran, sukuk mampu menghulur bantuan kewangan patuh syariah yang mengambilkira denyut nadi mereka. Tambahan pula, apabila kepentingan hartanah tidak terhakis, cara yang digunakan melibatkan wakaf tanpa jual beli, pemilik dan pewaris serta anak cucu cicit mereka akan menerima aliran pahala selama-lamanya sampai ke hari kiamat.
Ismail Omar adalah Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA) dan profesor di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dalam bidang pengurusan harta tanah dan wakaf
Hits: 201